BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, June 20, 2009

Kasih ayah

" Anakku Sazali dengarlah
Lagu yang ayahanda karangi
Sifatkan lagu ku hai anak
Sebagai sahabatmu nanti

Anakku Sazali dengarlah
Lagu yang ayahanda karangi
Sifatkan lagu ku hai anak
Sebagai sahabatmu nanti

Anakku Sazali juwita
Laguku jadikan pelita
Penyuluh di gelap gelita
Pemandu ke puncak bahagia..."

BEGITU puitis lirik lagu Anakku Sazali ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Baitnya syahdu dan menyentuh jiwa, membayangkan keakraban hubungan dan kasih tidak berbelah bahagi antara seorang bapa dan anak.

Kasih bapa kepada anak melebihi segalanya. Jasanya tidak terhitung, cuma semua itu sukar dimengertikan si anak, sehinggalah suatu hari kelak giliran anak pula bergelar bapa.

Islam meletakkan bapa pada kedudukan yang tinggi dan menjadi kewajipan setiap anak memuliakan bapa, mentaati dan menghormatinya, berbuat baik dan berkata dengan sopan.

“Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia.

“Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah: ‘Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.’” (Surah al-Isra': 23-24)

Menurut Imam al-Ghazali, kebanyakan ulama berpendapat, ketaatan kepada orang tua wajib dalam hal meragukan dan tidak wajib dalam hal yang jelas haram kerana meninggalkan sesuatu meragukan adalah warak (berhati-hati), sedangkan keredaan orang tua adalah wajib.

Berbakti kepada orang tua tidak hanya kepada bapa atau ibu yang Muslim.

Walaupun kedua-duanya kafir, anak harus berbuat baik kepada mereka dan termasuk berbuat baik dan tidak berjihad kecuali dengan izin mereka.

Dalam hadis sahih diriwayatkan daripada Abdullah ibn Amru, dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w meminta izin kepadanya untuk berjihad.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apakah ayahmu masih hidup?” Orang itu menjawab: “Ya.” Nabi bersabda: “Berjihadlah bagi kedua orang tua.” (Hadis riwayat Muslim)

Melalui hadis lain disebutkan orang itu menjawab: “Ya, kutinggalkan mereka menangis.” Nabi berkata: “Pergilah, buatlah mereka tertawa, sebagaimana engkau membuat mereka menangis.”

Jangan sesekali membuatkan bapa menitiskan air mata. Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a, dia berkata, bersabda Rasulullah bermaksud: “Tangis kedua orang tua termasuk penderhakaan.” (Hadis riwayat Bukhari)


Ibnu Abbas berkata, Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membuat reda kedua orang tuanya di waktu pagi dan petang, dia pun mendapat dua pintu syurga yang terbuka dan jika seorang, satu pintu. Sesiapa di waktu petang dan pagi membuat marah kedua orang tuanya, dia mendapat dua pintu neraka yang terbuka, jika seorang, satu pintu.”

Tetapi bagi si anak pantang melihat bapa melakukan perkara bertentangan.

Bapa, walaupun kerap kali berdepan dengan anak bermasalah, tetap bersabar dan menutup aib sehinggalah dia dapat melihat anaknya menjadi orang berguna.

Malah, anak selalu berkira soal makan minum dengan bapanya. Sudahlah wang jarang dikirim, bertanya khabar jauh sekali. Beberapa kali diberi, sudah mula mengungkit itu dan ini.


1 comments:

Kim Kartikah Lee Ismail ( kentutkecil) said...

mak ai..aku tlh masok blog ke hape nie?kekeke